Sunday, April 25, 2010

Isu buang bayi

Setiap hari setiap masa kita didedahkan dengan isu buang bayi di dada akhbar….ada yang buang di tong sampah, dibakar macam sampah ditanam macam bangkai binatang  …….masyaallah apa sudah jadi pada dunia kita hari ini.. itu yang dilaporkan oleh akhbar entah berapa banyak lagi yang berlaku di luar sana hanya Allah saja yang tahu.
Manusia hari ini sudah macam zaman Arab jahiliah.. jahil sejahilnya… malah lebih dahsyat daripada zaman itu… saya rasa budak-budak yang melakukan perkara tersebut pernah belajar sejarah tapi ilmu itu tidak dipergunakan dengan sebaiknya. Inilah jadinya. Kalau zaman Arab dulu bayi perempuan aje yang ditanam bukan di buang merata-rata…. tapi hari ini tak kira bayi lelaki ke perempuan semua dibuang. Inilah buktinya jahilnya mereka.
Tidak ada guna lah kalau belajar sejarah tetapi tidak menghayati. Kita belajar sejarah bukan sekadar tahu tahu, peristiwa tetapi harus belajar dan mengambil ikhtibar daripada peristiwa yang berlaku.
Saya mengharapkan pelajar-pelajar berfikir  dulu sebelum melakukan sesuatu perkara. Kembalilah kita kepada Tuhan/Allah jika kita mula tersesat. “Jika tersesat dihujung jalan kembalilah ke pangkal jalan”. Insyaallah kita akan selamat. Selamat belajar….

Wednesday, April 7, 2010

Persediaan ULBS 1

Assalamualaikum, murid-muridku.
Bulan April ini kita akan memulakan ujian lisan (ULBS) kali pertama.
Kelas 4TI tolong bersedia.....

Panduan Mengarang 1

Pendahuluan Karangan

Pendahuluan merupakan komponen penting dalam sesebuah karangan. Pendahuluan berfungsi sebagai wajah karangan yang ditulis. Pemeriksa akan melihat pendahuluan sebagai impression atau gambaran awal tentang kandungan karangan berkenaan. Oleh yang demikian, calon digalakkan menulis pendahuluan karangan yang baik untuk menarik minat pembaca.
Terdapat pelbagai cara untuk menulis pendahuluan. Calon mesti membiasakan diri dengan pelbagai jenis pendahuluan untuk membolehkan mereka memulakan karangan dengan meyakinkan.

 Panduan Menulis Pendahuluan Karangan

Langkah 1
Calon-calon perlu memahami kehendak soalan dengan membaca soalan berulang-ulang kali. Setelah kehendak soalan dikenal pasti, calon boleh bergerak ke langkah yang berikutnya.


Langkah 2
Perkara-perkara yang hendak ditulis dalam pendahuluan dikategorikan seperti berikut;
Isu (I)
Kesan isu (K)
Tindakan umum (T)
Hasil tindakan (H)
Hubungkaitkan dengan soalan. (H)
Untuk memudahkan calon mengingat perkara-perkara tersebut, singkatan berikut boleh digunakan iaitu IKTHH atau IKT2H.


a. Isu
Bahagian isu boleh ditulis dalam satu atau dua ayat. Bahagian ini meliputi isu-isu yang dibangkitkan dalam soalan. Perkara yang ditulis pada bahagian ini terdiri daripada dua perkara iaitu takrif isu dan senario umum tentang isu berkenaan. Namun begitu jika calon menulis senario umum tentang isu sahaja pun sudah memadai. Misalnya, jika soalan memerlukan calon membincangkan cara-cara membanteras gejala cetak rompak, calon perlu menggambarkan senario gejala berkenaan masa kini. Contohnya,
Isu cetak rompak merupakan duri dalam daging industri hiburan di negara kita.
Gejala cetak rompak telah wujud sekian lama dan menjejaskan industri hiburan di negara kita.


b. Kesan isu


Perkara yang kedua yang dimasukkan ke dalam pendahuluan ialah kesan isu yang dibicarakan. Kesan yang dimaksudkan ialah kesan umum yang sudah diketahui. Contohnya,
Masalah cetak rompak menjejaskan artis-artis kerana titik peluh mereka seolah-olah dirampas oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Gejala cetak rompak menjejaskan pendapatan artis-artis dan karyawan seni kerana hasil karya mereka telah dicuri dengan sewenang-wenangnya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.


c. Tindakan umum


Seterusnya calon memasukkan tindakan secara umum yang diambil pihak-pihak tertentu untuk mengatasi masalah berkenaan. Bahagian ini hanya menyatakan tindakan atau langkah secara umum dan tidak diperincikan. Contohnya;
Pelbagai langkah telah diambil oleh pihak yang berwajib untuk menyelesaikan masalah ini.
Usaha-usaha yang praktikal telah dilaksanakan untuk membanteras gejala yang semakin menular ini.


d. Hasil tindakan


Setelah menyatakan tindakan umum, perkara yang perlu dimasukkan ke bahagian pendahuluan ialah kesan tindakan tersebut. Kesan-kesan itu mungkin kesan positif atau sebaliknya bergantung kepada isu dan kehendak soalan yang dikemukakan dalam tajuk karangan. Contohnya;
Namun begitu, sehingga kini belum ada penyelesaian yang konkrit untuk menyelesaikan masalah ini.
Walau bagaimanapun, gejala yang sudah lama mencengkam hati ini, belum ada ubat yang mujarab untuk menyelesaikannya.


e. Hubung kait dengan soalan


Akhir sekali, calon perlu menghubungkaitkan kehendak soalan dengan pendahuluan. Pada masa inilah calon akan memfokuskan perkara yang bakal dibincangkan dalam bahagian isi karangan. Contohnya;
Sesungguhnya, gejala cetak rompak meninggalkan kesan yang besar terhadap industri hiburan negara kita. (Jika soalan menghendaki calon membincangkan kesan-kesan gejala cetak rompak)
Dalam hal ini, terdapat banyak punca yang menyebabkan gejala cetak rompak berleluasa dan tidak dapat ditangani sepenuhnya. (jika soalan menghendaki calon membincangkan punca-punca gejala cetak rompak)

Kepentingan Mempunyai Matlamat Belajar


Antara kunci keberhasilan dalam belajar adalah adanya tujuan yang jelas. Tujuan biasanya menentukan hasil yang akan anda capai. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda bahawa setiap amal perbuatan itu tergantung pada niat atau tujuannya dan bahawa hasil yang akan diperoleh orang yang bekerja tersebut akan sesuai dengan niat atau tujuan yang ingin dicapainya. Tujuan adalah sesuatu yang mahu anda capai. Tujuan jangka pendek adalah sesuatu yang ingin anda capai segera. Contoh tujuan belajar jangka pendek adalah menyelesaikan pekerjaan rumah anda. Tujuan jangka panjang adalah sesuatu yang ingin anda capai pada suatu masa nanti. Untuk menetapkan tujuan, anda harus mengetahui apa-apa yang penting untuk anda capai. Kemudian anda harus menetapkan tujuan yang dirumuskan secara spesifik dan jelas. Kalau anda tidak mempunyai tujuan yang dirumuskan dengan jelas, usaha akan kehilangan arah dan fokus. Tulislah tujuan-tujuan anda itu sehingga anda mempunyai catatan tentangnya.

TIGA UNSUR TUJUAN
Setiap tujuan yang anda tetapkan harus menyatakan APA yang akan anda lakukan dan BILA anda akan mencapainya. Tersirat dalam setiap tujuan yang anda tetapkan itu adalah KEMAHUAN (ketetapan hati) anda untuk mencapainya. Sebagai contoh, tujuan untuk menulis makalah mungkin dirumuskan sebagai berikut: Saya akan (ketetapan hati anda) menyelesaikan pengumpulan maklumat untuk makalah saya (apa yang akan anda lakukan) pada 2 Mei (bila anda akan mencapainya).

CIRI TUJUAN YANG BAIK
Tujuan yang Anda tetapkan hendaknya:
1. berada dalam keterampilan dan kemampuan anda.
Mengetahui kekuatan dan kelemahan anda akan membantu anda menetapkan tujuan yang dapat anda capai.

2. realistik.
Menetapkan tujuan untuk mempelajari lima perkataan bahasa Inggeris baru setiap hari adalah realistik. Mencuba mempelajari lima puluh perkataan bahasa Inggeris baru setiap hari adalah tidak realistik.

3. luwes (fleksibel).
Kadang-kadang situasi tidak sesuai dengan harapan kita dan anda perlu mengubah tujuan belajar. Tetaplah bersikap luwes sehingga ketika anda menyedari perlunya perubahan, anda akan bersedia untuk mengubahnya.

4. dapat diukur.
Dapat mengukur kemajuan belajar anda dalam mencapai tujuan itu adalah penting, terutamanya untuk mengetahui waktu anda sudah mencapai tujuan anda dan harus berhenti. Kegagalan mengukur kemajuan anda dalam usaha mencapai tujuan dan mengetahui ketercapaiannya akan membuat usaha anda keliru dan sia-sia.

5. berada dalam kemampuan anda.
Kecuali kalau anda bekerja dalam kelompok, maka pencapaian tujuan anda harus tidak bergantung pada orang lain. Anda dapat mengendalikan apa-apa yang anda lakukan, tetapi anda tidak banyak atau tidak dapat mengendalikan apa-apa yang dilakukan orang lain. Anda mungkin saja melakukan kewajiban anda, tetapi kalau yang lain tidak, maka anda tidak akan dapat mencapai tujuan anda. Seringkali orang tua, guru, dan rakan anda akan menetapkan tujuan yang harus anda capai. Siaplah untuk menerima hal itu. Mereka adalah orang-orang yang mengetahui apa-apa yang penting bagi anda dan mereka sangat memikirkan keberhasilan anda. Mereka juga dapat membantu anda mencapai tujuan yang telah ditetapkan oleh mereka untuk anda.

TETAPKAN TUJUAN BELAJAR YANG DAPAT MEMBERI ANDA ARAH YANG JELAS DAN MEMBAWA ANDA KE MATLAMAT!

Panduan Mengarang

Panduan Menulis Kesimpulan Karangan
Sama seperti bahagian pendahuluan, bahagian kesimpulan karangan juga sangat penting untuk diberikan perhatian oleh calon-calon. Kesimpulan yang baik dan mantap akan menyerlahkan kematangan calon dalam membicarakan sesuatu isu yang diperlukan oleh soalan. Oleh itu, calon-calon perlu menulis kesimpulan yang baik untuk karangan mereka. Sesebuah karangan yang baik akan terjejas kualitinya jika bahagian kesimpulan tidak diberikan perhatian yang serius. Makalah ini menerangkan beberapa panduan asas yang perlu dilakukan oleh calon semasa membuat kesimpulan karangan.
Dalam bahagian kesimpulan beberapa perkara harus dititikberatkan untuk menunjukkan calon menguasai isu yang diperkatakan. Setiap kesimpulan yang ditulis calon perlu membuat rumusan perbincangan, memberikan cadangan, menyatakan peringatan atau amaran dan akhir sekali menyatakan harapan calon terhadap sesuatu isu yang dibangkitkan dalam perbicangan isi. Perkara-perkara tersebut boleh disusun seperti berikut;
i. Rumusan perbincangan ( R )
ii. Cadangan ( C )
iii. Peringatan/Amaran ( A )
iv. Harapan ( H )


Bagi memudahkan calon mengingat perkara-perkara tersebut, singkatan berikut boleh digunakan iaitu RCAH. Jadi dengan mengingat singkatan berkenaan calon-calon tidak lupa akan perkara-perkara yang perlu disertakan dalam kesimpulan karangan mereka.


i. Rumusan Perbincangan
Bahagian ini memerlukan calon membuat rumusan berdasarkan perbincangan isi-isi yang diutarakan. Rumusan tersebut dibuat secara ringkas tetapi mengaitkan kehendak soalan. Calon dinasihati untuk memberikan penekanan terhadap fokus soalan. Jika soalan tersebut meminta calon menyatakan kesan-kesan sesuatu isu, maka beri penekanan pada kesan-kesan semasa membuat rumusan perbincangan.


Soalan contoh :
Bidang teknologi makllumat dan komunikasi merupakan bidang baharu yang perlu dikuasai oleh masyarakat masa ini. Anda ingin menulis sebuah karangan untuk menyatakan kebaikan-kebaikan teknologi maklumat dan komunikasi terhadap masyarakat. Tulis karangan anda selengkapnya.


Kesimpulan contoh:
Bidang teknologi maklumat dan komunikasi sememangnya mempunyai banyak kebaikan untuk dihitung. (RUMUSAN PERBINCANGAN) Oleh itu sudah tiba masanya seluruh masyarakat digalakkan untuk mempelajari bidang berkenaan dengan lebih serius. (CADANGAN) Jika tidak, masyarakat kita akan terus tercicir dan tersisih daripada perkembangan perdana dunia hari ini. (PERINGATAN ATAU AMARAN) Masyarakat yang dapat menguasai bidang canggih ini, diharap dapat bersaing dalam era globalisasi yang semakin mencabar. (HARAPAN)


Kesimpulan contoh 2.
Tidak dapat dinafikan gejala sumbang mahram mempunyai kesan yang sangat buruk terhadap individu dan masyarakat. Semua pihak perlu berganding bahu untuk membanteras gejala ini daripada terus berleluasa. Jika tindakan sewajarnya tidak diambil, imej masyarakat seluruhnya akan musnah dan dipandang hina. Harapan kita, dengan usaha-usaha yang bersungguh-sungguh, gejala jijik ini dapat diatasi, sekali gus mengembalikan keharmonian dalam masyarakat selaras dengan pembinaan masyarakat madani menjelang tahun 2020.


Kesimpulan contoh 3.
Bekerja sambil belajar ternyata mempunyai kebaikan dan keburukan yang tersendiri. Mereka yang terlibat secara langsung dengan perkara ini perlu bijak mengurus masa agar tidak mengabaikan perkara yang penting dalam kehidupan. Jika tidak, ada kemungkinan mereka menyesal dengan tindakan mereka suatu hari nanti. Dengan pengurusan masa yang baik dan fikiran yang rasional, kita harap generasi muda akan lebih berdikari dan berterampilan dalam menempuh hari depan yang semakin mencabar.

KOMSAS 24: MENULIS SINOPSIS MENGIKUT BAB - (NOVEL RENYAH)


Pada peringkat ini, diharap murid sepatutnya sudah pun membaca dan menghayati novel yang ditetapkan mengikut zon masing-masing. Mereka juga mungkin telah diperkenalkan semua aspek bukan sastera dan aspek sastera seperti sinopsis, tema, persoalan, watak dan perwatakan, plot, latar, gaya bahasa, dan sebagainya. Konsep asas sastera ini bukanlah perkara baharu kerana sejak di Tingkatan 1 lagi mereka telah pun diperkenalkan semasa mengkaji novel atau karya sastera lain yang terdapat dalam pelbagai antologi yang dipelajari. Bagi menguji kebolehan dan daya ingatan murid tentang isi cerita yang dibaca berdasarkan novel yang ditetapkan, murid lazimnya diminta untuk menulis sinopsis secara keseluruhan bagi menggambarkan penghayatan dan pemahaman terhadap novel yang dikaji. Sinopsis sebenarnya ialah ringkasan cerita atau kisah yang menggambarkan keseluruhan karya. Sinopsis dibina berdasarkan rentetan peristiwa penting dalam sesebuah cerita. Lazimnya peristiwa penting ini dapat dikesan melalui pergerakan atau tindak-tanduk watak utama yang diketengahkan oleh penulis.
Ikuti rencana saya selanjutnya di dalam majalah FOKUS SPM, Mac 2010..

TAKWIM PEPERIKSAAN AWAM

UPSR = 21 - 23 Sept. 2010
PMR = 5 - 12 Oktober 2010
SPMU = 22 dan 23 Jun 2010
SPM = 22 Nov. - 16 Dis. 2010
STAM (Lisan) = 12 - 13 Jul. 2010
STM (Bertulis) = 18 - 27 Okt. 2010