Wednesday, April 7, 2010

Panduan Mengarang 1

Pendahuluan Karangan

Pendahuluan merupakan komponen penting dalam sesebuah karangan. Pendahuluan berfungsi sebagai wajah karangan yang ditulis. Pemeriksa akan melihat pendahuluan sebagai impression atau gambaran awal tentang kandungan karangan berkenaan. Oleh yang demikian, calon digalakkan menulis pendahuluan karangan yang baik untuk menarik minat pembaca.
Terdapat pelbagai cara untuk menulis pendahuluan. Calon mesti membiasakan diri dengan pelbagai jenis pendahuluan untuk membolehkan mereka memulakan karangan dengan meyakinkan.

 Panduan Menulis Pendahuluan Karangan

Langkah 1
Calon-calon perlu memahami kehendak soalan dengan membaca soalan berulang-ulang kali. Setelah kehendak soalan dikenal pasti, calon boleh bergerak ke langkah yang berikutnya.


Langkah 2
Perkara-perkara yang hendak ditulis dalam pendahuluan dikategorikan seperti berikut;
Isu (I)
Kesan isu (K)
Tindakan umum (T)
Hasil tindakan (H)
Hubungkaitkan dengan soalan. (H)
Untuk memudahkan calon mengingat perkara-perkara tersebut, singkatan berikut boleh digunakan iaitu IKTHH atau IKT2H.


a. Isu
Bahagian isu boleh ditulis dalam satu atau dua ayat. Bahagian ini meliputi isu-isu yang dibangkitkan dalam soalan. Perkara yang ditulis pada bahagian ini terdiri daripada dua perkara iaitu takrif isu dan senario umum tentang isu berkenaan. Namun begitu jika calon menulis senario umum tentang isu sahaja pun sudah memadai. Misalnya, jika soalan memerlukan calon membincangkan cara-cara membanteras gejala cetak rompak, calon perlu menggambarkan senario gejala berkenaan masa kini. Contohnya,
Isu cetak rompak merupakan duri dalam daging industri hiburan di negara kita.
Gejala cetak rompak telah wujud sekian lama dan menjejaskan industri hiburan di negara kita.


b. Kesan isu


Perkara yang kedua yang dimasukkan ke dalam pendahuluan ialah kesan isu yang dibicarakan. Kesan yang dimaksudkan ialah kesan umum yang sudah diketahui. Contohnya,
Masalah cetak rompak menjejaskan artis-artis kerana titik peluh mereka seolah-olah dirampas oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Gejala cetak rompak menjejaskan pendapatan artis-artis dan karyawan seni kerana hasil karya mereka telah dicuri dengan sewenang-wenangnya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.


c. Tindakan umum


Seterusnya calon memasukkan tindakan secara umum yang diambil pihak-pihak tertentu untuk mengatasi masalah berkenaan. Bahagian ini hanya menyatakan tindakan atau langkah secara umum dan tidak diperincikan. Contohnya;
Pelbagai langkah telah diambil oleh pihak yang berwajib untuk menyelesaikan masalah ini.
Usaha-usaha yang praktikal telah dilaksanakan untuk membanteras gejala yang semakin menular ini.


d. Hasil tindakan


Setelah menyatakan tindakan umum, perkara yang perlu dimasukkan ke bahagian pendahuluan ialah kesan tindakan tersebut. Kesan-kesan itu mungkin kesan positif atau sebaliknya bergantung kepada isu dan kehendak soalan yang dikemukakan dalam tajuk karangan. Contohnya;
Namun begitu, sehingga kini belum ada penyelesaian yang konkrit untuk menyelesaikan masalah ini.
Walau bagaimanapun, gejala yang sudah lama mencengkam hati ini, belum ada ubat yang mujarab untuk menyelesaikannya.


e. Hubung kait dengan soalan


Akhir sekali, calon perlu menghubungkaitkan kehendak soalan dengan pendahuluan. Pada masa inilah calon akan memfokuskan perkara yang bakal dibincangkan dalam bahagian isi karangan. Contohnya;
Sesungguhnya, gejala cetak rompak meninggalkan kesan yang besar terhadap industri hiburan negara kita. (Jika soalan menghendaki calon membincangkan kesan-kesan gejala cetak rompak)
Dalam hal ini, terdapat banyak punca yang menyebabkan gejala cetak rompak berleluasa dan tidak dapat ditangani sepenuhnya. (jika soalan menghendaki calon membincangkan punca-punca gejala cetak rompak)

No comments:

Post a Comment